Thursday 19 June 2014

Rahsia Sentuhan Ibubapa dalam Mendidik Anak

Anak adalah penyeri dalam hidup ibubapa sebagai kesinambungan zuriat.  Anak sebenarnya adalah amanah Allah SWT.  Allah mengamanahkan kita sebagai ibubapa untuk mengasuh, menjaga dan mendidik anak dengan sebaik mungkin.  Jagalah mereka dan didiklah mereka dalam erti kata yang sebenar.
Satu hakikat yang perlu kita sedari, peluang mendidik anak hanya sekali sahaja.  Maka manafaatkanlah peluang ini dengan sebaik mungkin. Tidak dinafikan, mendidik anak kadangkala memeningkan kepala, tetapi anak yang tidak terdidik lebih memeningkan kepala.  Ramai ibubapa menghadapi banyak masalah dalam menangani kerenah persekolahan dan pembelajaran anak-anak.  Namun terdapat juga segelintir ibubapa yang cukup gembira dan bangga dengan pencapaian anak-anak yang konsisten dan cemerlang.  Ini menunjukkan masih ada sinar di hujung perjalanan kerana langit tidak selalunya mendung.....tanya sama angin apa sebab hujan, nanti jawab angin tanyalah awan....

Anak-anak sememangnya bergantung penuh kepada ibubapa dan ibubapalah yang mencorakkan dan menentukan acuan yang sesuai untuk mereka. Maka adalah tepat sekali jika dikatakan bahawa ibubapa adalah senjata utama yang paling berkesan kepada si anak.  Anak-anak yang cemerlang di sekolah dan kurang terlibat dalam gejala sosial adalah anak-anak yang mendapat didkan dan bimbingan yang mencukupi sedari awal bermula dari rumah.
Sebagai seorang mukmim, ibubapa mesti berusaha memainkan peranan untuk merealisasikan kecemerlangan anak-anak agar berjaya dunia dan juga akhirat.  Bagaimanakah caranya ?  Tambah ilmu, tambah amal dan berusaha untuk menjadi ikon terbaik di mata anak-anak.  Hayati sirah nabi dan kisah para sahabat agar kita sentiasa berada dalam landasan yang betul dalam mendidik anak-anak dan sentiasa berdoa memohon hidayah Yang Esa.



Berikut ini adalah himpunan kata-kata mutiara yang boleh dijadikan inspirasi dalam mendidik anak :

1. Didiklah anak anda untuk menjadi seorang pemimpin, menjadi seorang pemenang, menjadi seseorang yang hebat.

2. Jangan sekadar membesarkan tubuh fizikal anak anda, tapi besarkan juga mimpi-mimpi anak-anak dan besarkan juga kemampuan anak-anak anda.

3. Jika anda ingin anak anda membesar dengan pribadi yang hebat, maka tanamkanlah pemiikiran-pemikiran yang hebat dalam fikiran anak anda sedari kecil dan jangan biarkan pemikiran hebat tersebut memudar.

 4. Jadilah orang tua yang melahirkan seorang pemimpin dan proses kelahiran pemimpin tersebut bermula sejak anak anda lahir hingga dia dewasa.

 5. Apa yang telah anda raih dalam umur 50 tahun sebenarnya boleh dicapai oleh anak-anak anda dalam umur 20 tahun jika anda mendidik mereka sebagai orang hebat sejak kecil.
6. Jadilah orang tua yang bertanggung jawab sehingga anak-anak juga terdidik untuk bertanggung jawab,

7. Cara terbaik untuk mendidik anak-anak anda adalah dengan mendidik diri anda terlebih dahulu kerana anak anda akan mencontohi diri anda dalam banyak hal.

8. Setiap kisah tokoh besar dan berjaya bermula dari kisah awal semasa kecil dan ia sebenarnya bermula dari didikan yang diterima sejak kecil lagi. Justeru, jadikanlah didikan yang anda berikan kepada anak anda sebagai awal kisah seorang tokoh besar selanjutnya. 


Semoga perkongsian ini akan memberi manafaat dan panduan kepada kita bersama.  Akhirnya saya kongsikan bait-bait ayat bermakna "KITA TIDAK PERNAH MERANCANG UNTUK GAGAL, TETAPI SERING GAGAL UNTUK MERANCANG".  Jumpa lagi.