Saturday, 19 April 2014

Pantun Minta Maaf


Seringkali lidah tersilap dalam menuturkan kata-kata namun hakikatnya lidah yang sama terasa amat berat untuk melafazkan kata maaf, terlajuk perahu boleh diundur, terlajak kata.........


Mari kita hayati pantun minta maaf berikut :

 Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati. 

Andai kata padam pelita,
Gelap gelita di malam hari;
Andai ada terlanjur kata,
Maaf dipinta setulus hati. 

Dari jauh nampak mata, 
Dari dekat nampak gigi,
Hari ini maaf dipinta,
Esok kita buat salah lagi.  

Kalau anda pergi ke sawah,
Mohon mampir ke ladang saya,
Kalau ada ucapan yang salah,
Mohon kiranya maafkan saya.

Ranting jatuh kerana patah,
Jatuh melayang menimpa atap,
Aku tahu aku yang salah,
Kerana itu aku minta maap. 



Saling bermaaf-maafan

Maafkan kami
Lirik Lagu Melayu : P. Ramlee

Maafkan kami
Maafkan kami
Maafkan kami
Maafkan kami

Wahai cik adik jangan merajuk
Maafkan kami si Bujang Lapuk
Jikalau salah tolonglah tunjuk
Kamilah rela hai kena ketuk
Nandung-nandung dayang senandung
Wahai saudari maafkan kami

Korus:
Maafkan kami
Maafkan kami 2x
Maafkan kami

Kalau Cik Adik tak mahu maafkan
Kami nak tinggal Tanjung Rambutan
Wahai Cik Adik tidakkah kasihan
Kami nak mati berderai badan
Nandung-nandung dayang senandung
Wahai saudari maafkan kami

Korus:
Maafkan kami
Maafkan kami
Maafkan kami
Maafkan kami

Wahai cik adik jangan marah sangat
Sedangkan Nabi ampunkan umat
Kalau Cik Adik mukanya kelat
Kelubang jendela kami nak lompat
Nandung nandung dayang senandung
Wahai saudari maafkan kami

Korus:
Maafkan kami
Maafkan kami
Maafkan kami
Maafkan kami ......

Thursday, 27 February 2014

Lirik lagu Warisan - Sudirman/Syed Haron Ahmad

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan


( korus )
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harusku bawakan
Ke mana harusku semaikan cinta ini


Betapa
Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki


Aku
Bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

 ( ulang korus )

Ku ingin kotakan seribu janji

Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan

Pantun dua kerat Melayu Lama


Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut senang hati.

Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Buah betik campur gula,
Buat baik dapat pahala.

Paku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.

Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.

Anak dara pergi ke kedai,
Rindu di hati rasa nak longlai.

Pinggan tak retak nasi tak dingin,
Orang tak hendak kita tak ingin.

Lain ulu lain parang,
Lain dulu lain sekarang.

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.

Kayu bongkok di balik tiang,
Ayam berkokok alamat nak siang.

Pat-pat nya,
Siapa cepat dia punya.

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh mahu lagi.

Siji, loro, telu, papat,
Melayu lari Jawa dapat. 

Cekur dang gamit,
Mintak cekur beri kunyit.

Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Ada ubi ada batas,
Ada budi boleh dibalas.


Pecah kaca pecah gelas,
Sudah baca harap balas.

Pantun terakhir ini sememangnya sangat dekat di hati terutama saat di bangku sekolah rendah.  Agak-agak sebab apa ye?  Masihkah kau ingat......ya, semuanya sibuk dengan kad-kad raya saat menjelang hari raya.  Sejujurnya anda tidak perlu membalasnya, sebab.......
 
I have a pen,
My pen is blue,
I have a friend,
My friend is you. 

Jumpa lagi dan terima kasih kerana sudi membaca hingga ke noktah terakhir.

Bye.


Monday, 3 February 2014

Pantun Pembuka Majlis

Kali ini saya mahu berkongsi pantun-pantun pembuka bicara dimana ia sesuai untuk digunakan sebagai pembuka sesuatu majlis  Pilihalah mana yang berkenan di hati dan difikirkan sesuai dengan majlis tersebut.

Jom layan....

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Pergi berhuma di Tanjung Rokan,
Sebelum pulang mengail ikan,
Kehadiran tuan-puan kami alu-alukan,
Kecil telapak tangan nyiru kami tadahkan.

Ke Pekan Kuala membeli bingka, 
Sayang pesanan terlupa sudah, 
Majlis bermula  tirai  dibuka, 
Dengan alunan madah yang indah.

Mencari timba si anak dara,  
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara, 
Selamat datang untuk semua.

 Melati  kuntum  tumbuh  melata, 
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalammualaikum mulanya kata, 
Saya sembah pembuka bicara.

Indah sungguh ciptaan Tuhan,
Mentari merah di waktu senja,
Salam sejahtera saya ucapkan,
Sebagai tanda pembuka bicara.
  


Pengalaman menjadi MC konvo PKB bersama
bekas rakan sejawat, Dr Khir (kini di UMK)


Menjadi MC untuk event bersama PUSPANITA PKB

Semoga perkongsian ini memberi manafaat kepada anda dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa.  Permisi dulu.

Thursday, 19 December 2013

Celik Mata & Jiwa

Buku Celik Mata & Jiwa oleh Prof Muhaya Mohamad memang best.  Insha Allah tak rugi memilikinya. 


Buku ini memberi panduan kepada pembaca untuk mengenal pasti dan memahami cabaran hidup serta mencari jalan penyelesaiannya melalui minda yang positif dan spiritual yang mantap. Kandungan buku ini menyenaraikan pelbagai tips berguna untuk membuat perubahan kepada diri sendiri, persekitaran dan ketika berinteraksi dengan masyarakat. Selain itu, buku ini juga memuatkan panduan berguna untuk menghadapi dan menangani sebarang situasi serta tekanan hidup dalam dunia yang mencabar.


"Mata Akal Mata Hati' pula adalah buku terbaru beliau yang baru saja saya beli.  Secara peribadi saya memang suka buku-buku motivasi dan meminati Prof Muhaya.  Ia membantu kita mengenal diri dan seterusnya memperbaiki diri sendiri.  Moga Allah permudahkan hasrat saya untuk mengubah diri menjadi hambaNya yang sentiasa berpegang pada syiar Islam untuk membimbing dan mendidik anak-anak mahupun anak didik. Amin Ya Allah.

Selamat membaca.

Tuesday, 22 October 2013

Pantun Berkasih

Jom layan.......


Dari mana punai melayang,
  Dari sawah turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
  Dari mata turun ke hati.

Kalau roboh Kota Melaka,
  Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
  Nyawa dan badan saya serahkan.

Kalau roboh Kota Melaka,
  Sayang selasih di dalam puan,
Kalau sungguh bagai dikata,
  Rasa nak mati di pangkuan tuan.

Nasi lemak buah bidara,
  Sayang selasih hamba lurutkan,
Hilang emak hilang saudara,
  Kerana kasih hamba turutkan.

Layang-layang terbang melayang,
  Jatuh di laut melayang-layang,
Siapa bilang saya tak sayang,
  Siang malam terbayang-bayang.





Monday, 16 September 2013

Pantun Kecewa

Untuk perkongsian bersama, hayati pantun-pantun kecewa@patah hati berikut : 

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.

Banyaklah orang menanam pulut,
Saya seorang menanam padi,
Banyaklah orang karam di laut,
Saya seorang karam di hati.

Anak punai anak merbah,
Hinggap di tonggak mencari sarang,
Anak sungai lagikan berubah,
Inikan pula hati orang.

Apa diharap padi seberang,
Entahkan jadi entahkan tidak,
Apa diharap kasihnya orang,
Entahkan jadi entahkan tidak. 

Inilah keindahan budaya Melayu....sesungguhnya memang benar perumpamaan Melayu 

Yang kurik itu kundi, 
Yang merah itu saga,
Yang elok itu budi, 
Yang indah itu bahasa.