Thursday, 14 May 2020

Santuni fitrah Anak 5 - Anak dan hafazan

Selamat bertemu kembali tuan puan yang saya kasihi sekelian.. Entry Santuni Fitrah Anak ini saya tulis berdasarkan pengalaman peribadi sepanjang PKP & PKPB pendamik covid 19 bersama anak yang sedang mengikuti program Ulul Albab.  Beberapa kali menyemak bacaan dan menjadi peneman anak semasa sesi tasmiq online, ia memberi kekuatan kepada saya untuk mengabadikan pengalaman berharga ini dalam bentuk penulisan.  
Mudah-mudahan ia memberi manafaat kepada yang memerlukan perkongsian sebegini meskipun banyak lagi perkongsian lain dengan topik yang sama.


Sedikit tentang diri saya supaya anda mendapat gambaran bahawa saya adalah insan biasa-biasa namun direzekikan Allah mempunyai seorang anak dengan latarbelakang tahfiz (saat entry ini ditulis, anak form 5 dan sedang dalam usaha katam hafazan, mohon doakan ye).

Saya mahupun suami adalah insan biasa dengan latar belakang keluarga biasa-biasa iaitu bukan bidang agama manakala kelayakan akademik pula bidang kejuruteraan. Jujur saya katakan bahawa kesedaran saya terhadap Al-Quran semasa zaman muda dulu juga biasa-biasa. Bayangkan, saya hanya membaca surah-surah tertentu seperti Yassin atau lain-lain surah lazim beberapa kali seminggu.  Dan sepanjang tempoh mengandung pula, saya hanya tambah dengan mengaji beberapa surah pilihan sebagai amalan seorang ibu mengandung.



Seingat saya, saya pernah beberapa kali bertekad untuk berubah jadi lebih dekat dengan Al-Quran. Paling saya ingat, ia juga antara azam yang entah ke-berapa saat saya bersetuju dengan hasrat suami berhijrah ke bumi serambi Kaabah.  Saya pernah menghafaz surah-surah lazim bagi memenuhi penilaian dalam program KPLI untuk Diploma Pendidikan. Ini pengalaman hafazan pertama saya pada usia 34 tahun.  
Namun ini semua masih belum cukup untuk membuat saya berubah dalam erti kata yang sebenar.  Betapa daif dan hinanya saya dalam pengajian Al-Quran. Allahurabbi.  Dan sebagai manusia biasa yang imannya senipis kulit bawang, saya tetap acuh tak acuh dalam menyantuni Al-Quran hinggalah tahun menjelang anak sulong menghadapi UPSR.  
Inilah saatnya saya mula berubah kerana saya mengimpikan anak yang boleh menghafaz Al-Quran.  Dengan pelbagai ceritera suka mahupun duka dalam kehidupan membesarkan dan mendidik anak-anak kandung mahupun anak didik, akhirnya pada awal Feb 2016 anak ke-3 saya berjaya terpilih mengikuti program Ulul Albab SMKA Tok Bachok dan pada Mei tahun yang sama ke MRSM Ulul Albab.  

Kedua-dua sekolah ini antara sekolah yang menjalankan program Tahfiz Al-Quran separuh masa iaitu menawarkan tahfiz dan subjek-subjek akademik. Dan bermula detik itu, saya mula kenal istilah dalam sistem tahfiz seperti tahsin, talaqi, hafazan baru, tasmiq, tahriri, murajaah dan berazam mesti cuba memahami kehidupan hafiz/hafizah.
Alhamdulillah syukur Ya Allah, inilah rezeki paling bermakna buat kami sekeluarga.  Dan sehingga saat entry ini ditulis, anak yang ini merupakan satu-satunya anak yang mempunyai latar belakang tahfiz dalam pendidikan akademiknya. In sha Allah.


Baik, saya kongsikan di sini ringkasan beberapa tips ke arah mempunyai anak dalam hafazan : 

1.Tanam rasa cinta pada Al-Quran
Rasa cinta pada Al-Quran adalah langkah pertama yang paling utama,  Ia mesti dimulakan dengan rasa suka kepada Al-Quran dan berdasarkan pengalaman sendiri, saya memupuk rasa suka ini dengan usaha kecil membaca buku ataupun sebarang penulisan berkaitan topik tentang Al-Quran dan insan-insan hebat dalam dunia tahfiz.  Lazimi diri dengan pengisian rohani seperti menghadiri majlis-majlis ilmu ataupun mendengar ceramah-ceramah agama oleh ustaz ustazah di tv, radio ataupun google.   

Jangan lupa memasakkan niat di hati untuk berubah agar selalu dipermudahakan urusan dan masa serta diberi kekuatan diri untuk mengikuti kelas belajar Tajwid dan kelas mengaji Al-Quran sama ada secara formal ataupun tidak.  Dalam masa yang sama, biasakan diri dengan mengaji sendirian di rumah meskipun merangkak di peringkat awal. In sha Allah, berkat usaha belajar secara berterusan dan amalan mengaji harian, bacaan Al-Quran kita akan bertambah baik dan lancar selain memupuk rasa suka dan cintakan Al-Quran.  

2. Doa
Berdoa setiap hari supaya Allah sempurnakan urusan agama anak dan juga diri sendiri dan memudahkannya.  Kita serahkan hati dan urusan anak belajar kepada Allah dan berdoa agar anak mendapat yang terbaik buat mereka. Pendek kata, pohon semua doa-doa yang baik seperti yang diajar dalam Islam selain memperbaiki ibadah dengan amalan-amalan sunat dan zikrullah.    

3. Melazimi membaca Al-Quran setiap hari
Kita sendiri sebagai ibubapa mesti menetapkan 1 slot masa khusus untuk membaca Al-Quran setiap hari.  Jadikan ia amalan yang wajib dilakukan setiap hari contohnya selepas solat Maghrib. Dalam masa yang sama, baca juga terjemahan ayat yang dibaca iaitu mentadabur terjemahan Al-Quran bagi memahami Al-Quran selain dapat terus menghidupkan hati kita.  In sha Allah.

4. Cuba tambah hafazan
Kita berusaha menambah hafazan surah-surah pilihan dan ulang hafazan seberapa kerap bagi memotivasikan diri mahupun anak. Kita akan sedar betapa menghafaz kalamullah itu sesuatu yang susah namun ia boleh dilakukan dengan usaha yang betul dan bersungguh-sungguh.  Proses hafazan kita ini akan menjadikan kita lebih memahami dan menghargai usaha anak dalam hafazan.  

Sebelum terlupa, saya kongsikan tips mudah dalam menyantuni fitrah anak yang belajar di sekolah menengah dan tinggal di asrama iaitu dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan anak.  Maksud memudahkan urusan anak ialah dengan tidak membebankan fikirannya dengan sesuatu yang boleh mengganggu fokus.  
Percaya atau tidak, masalah kecil yang berlaku akan menganggu sedikit sebanyak fokus anak kerana mereka sudah terbiasa dengan keadaan selesa dalam rumah saat bersama ibubapa.  
Sebagai contoh, ada ketika anak meminta kita untuk datang berjumpa pada bila-bila masa atau hujung minggu.  Penuhilah permintaan ini walau kita datang dengan sebungkus teh beng dan kemudiannya meningglkan duit belanja 5ringgit semasa bersalaman.  Atau di waktu lain anak kehilangan barang kecil, seboleh mungkin kita gantikan dengan yang baru.  
Ketika inilah kita menasihatinya dan memberi peringatan agar lebih berhati-hati.  In sha Allah dengan usaha kecil ini akan menjadikan anak lebih terarah fokusnya dan menjadikan mereka terus bersemangat menyerlahkan lagi potensi diri.

Akhirnya semoga perkongsian ringkas yang tidak seberapa ini menjadi inspirasi buat kita semua, Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu dari kelemahan diri saya.  Jumpa lagi bye.

Senarai difinisi istilah
Tahsin : Membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul.
Talaqi : Membaca Al-Quran di hadapan guru Al-Quran.
Talqin : Guru Al-Quran membaca ayat mula dan murid mengikut secara individu/kumpulan.
Tasmiq : Membaca/memperdengarkan hafazan di hadapan guru tanpa melihat musyaf Al-Quran.
Tahriri : Proses menulis ayat Al-Quran dengan teliti di dalam buku yang telah disediakan.
Murajaah : Mengulangkaji ayat hafazan dan ditasmiq di hadapan guru Al-Quran mengikut bilangan mukasurat/juzuk tertentu pada masa yang ditentukan.

Kredit :
Rahsia Menghafaz Al-Quran, Syeikh Kamal Yusof Ar-Rantawi, Maltared Corporation Sdn Bhd., 2015.

1 comment:

  1. Jaga al quran, Insyaallah al quran jaga kita selamanya

    ReplyDelete