Tuesday, 31 December 2019

Tips Mudah Sekolah Menengah Anak

Entry kali ini saya ingin kongsikan maklumat tentang laluan anak ke sekolah menengah hasil dari pengalaman sendiri dan sedikit research yang sempat dibuat.  Adalah diharapkan ia dapat memberi manfaat kepada ibubapa yang masih tercari-cari info tentang pendidikan peringkat menengah selepas anak-anak menerima keputusan UPSR dan UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA).

Umum mengetahui pendidkan sekolah menengah terbahagi kepada 2 iaitu menengah rendah (tingkatan 1-3) dan menengah atas (tingkatan 4 & 5). Berikut adalah ringkasan laluan ke sekolah menengah rendah :

1. SBP/SBPi bawah KPM
SBP (Sekolah Berasrama Penuh) adalah sekolah di bawah KPM.  Ia dikenali melalui SMS (Sek Men Sains) dimana terdapat sebanyak 69 buah SMS mengikut sumber Wikipedia.
SBPi (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi) telah diperkenalkan sejak tahun 2002 yang menggabungkan 3 aliran iaitu Aliran Sains Tulin, Aliran Sains Tulin Agama dan Aliran Sains Teknikal dengan 12 buah SBPi seluruh negara.  

2. Sekolah kawalan/kluster kecemerlangan bawah KPM
Sekolah di bawah kategori ini meliputi SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama), SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan), KAA (Kelas Aliran Agama), RKN (Sekolah Rancangan Khas Negeri) dan KRK (Kelas Rancangan Khas).

SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) - tambah 2 subjek iaitu Bahasa Arab Komunikasi dan Pengajian Quran dan Sunnah, contoh sekolah di negeri Kelantan adalah SMKA Melor, SMKA Wataniah dan lain-lain SMKA.

3. Sekolah saluran dan KAA (Kelas Aliran Agama)
Sekolah saluran adalah sekolah menengah yang telah ditetapkan oleh KPM bagi semua murid setelah tamat darjah 6 dan lebih dikenali sebagai sekolah menengah harian. Tahukah anda bahawa KPM telah menwujudkan Kelas Aliran Agama (KAA) atas desakan dan permintaan ibubapa dan masyarakat kepada pendidikan yang disediakan di Sekolah Menengah Agama (SMKA).  Dalam kelas ini anak-anak akan mengambil mata-pelajaran Bahasa Arab Komunikasi sama seperti di SMKA.

4. MRSM bawah MARA
Terdapat 3 jenis MRSM iaitu MRSM premier, MRSM IGCSE dan MRSM Ulul Albab.

5. Sekolah-sekolah bawah Yayasan Negeri
Bagi negeri Kelantan ia di bawah YIK (Yayasan Islam Kelantan) yang terdiri dari Maahad Kawalan (Maahad Tahfiz Sains, Maahad Tahfiz, Maahad Muhammadi Lelaki/Perempuan), Maahad Pilihan, Maahad dan SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan)

Ok meh saya kongsikan sedikit pengalaman sekolah anak-anak saya yang semuanya bersekolah rendah/menengah di bawah KPM. Harapnya anda sudi terus membaca hingga ke noktah terakhir.
  
Saya seperti ibu-bapa lain juga mahukan anak yang mempunyai latar belakang agama dalam akademik mereka.  Namun saya tidak cukup 'berani' menghantar anak ke sekolah agama selepas habis tadika atas pelbagai sebab dan alasan ketika itu.  
Maka anak-anak terus ke sekolah rendah bawah KPM sebagaimana kebanyakan orang.  Dan apabila anak naik ke sekolah menengah, dengan berbekal keputusan UPKK dan UPSR saya memilih sekolah agama buat mereka.  

Anak sulung dan anak ke-2 saya meneruskan pendidikan menengah di SMKA manakala anak ke-3 pula berpeluang mengikuti program quranik MRSM Ulul Albab.  Pengalaman menguruskan kemasukan anak ke-3 ini menjadikan saya seorang yang lebih optimis dan dinamik dalam pendidikan anak-anak.

Kenapa saya baru jadi seorang ibu yang lebih optimis semasa anak ke-3? Ini kerana saya mula bertindak untuk membuat rayuan.  
Jujur saya katakan, semasa zaman abang-abang naik form1 dulu saya tidak pernah menghantar sebarang surat rayuan sama ada MRSM Ulul Albab ataupun Imtiaz selepas dimaklumkan permohonan tidak berjaya. 
Namun apabila anak ke-3 terpaksa ke sekolah saluran selepas menolak tawaran SBP, saya terpaksa gagahi jua langkah membuat rayuan.  
Maka, bermulalah episod saya mengarang surat rayuan dan beberapa kali memanjat tangga ke pejabat JPN dan ibu pejabat MARA di KL. Alhamdulillah anak yang ini dapat mengikuti program tahfiz di sekolah kawalan KPM iaitu SMKA Tok Bachok yang baru setahun menjalankan program tahfiz. 

Setelah beberapa bulan, dia kemudiannya merayu-rayu pula untuk ke program tahfiz anjuran MARA lantaran ramai rakan-rakan SMKA-nya yang mendapat tawaran MRSM Ulul Albab.  
Dan atas desakan anak ditambah dengan rasa ingin mencuba, saya gagahi rayuan ke ibu pejabat MARA pula. Alhamdulillah sekali lagi rezeki menyebelahi anak dimana dia telah diterima untuk kemasukan terakhir ke MRSM Ulul Albab Besut awal Mei 2016. 

Saya juga terpaksa melalui pengalaman rayuan semasa anak ke-4 dan alhamdulillah kini bersekolah di SMKA sama seperti abang-abangnya (setelah menunggu seketika rayuan untuk ke SMKA Tok Bachok selain dua kali menolak tawaran MRSM IGCSE juga ditawarkan selepas proses rayuan).





Gambar bersama putera-puteri - sekadar hiasan entry kali ini

Apa yang ingin saya katakan disini adalah buatlah rayuan sekiranya anak tidak mendapat tawaran ke mana-mana sekolah yang diimpikan.  
In sha Allah, anak kita akan dapat yang terbaik buat mereka dan satu hari nanti kita juga turut akan merasa tempiasnya.

Semoga selamat semuanya. Aamiin Ya Allah.

No comments:

Post a Comment