PMR semakin hampir, sangat-sangat hampir. Saya pasti, semua yang benar-benar berhajatkan kecemerlangan dalam PMR, hatinya mesti berdebar-debar menjelang hari peperiksaan....sianak mahupun ibu atau bapa tak terkecuali guru-guru dan pentadbiran sekolah.
Berdebar ? Tapi kenapa ya. Ada banyak sebab kenapa berdebar.
Berdebar memikirkan apakah aku mampu nak menjawab soalan dengan baik dan tepat.
Berdebar memikirkan apakah keputusan yang bakal diperoleh nanti.
Untuk mengatasi debaran dan segala macam rasa, marilah kita memberi sedikit masa dan ruang kepada jiwa kita untuk rapat kepadaNya, rapat kepada pencipta kita, Allah SWT.
Bagi yang merasakan PMR ini adalah sesuatu yang besar dalam kehidupannya dan dia dah pun berusaha bersungguh-sungguh mengulangkaji, membuat latihan atau mengikuti perbincangan dalam kumpulan serta mengorbankan banyak masa, maka ketahuilah bahawa usaha itu tidak sia-sia.....sama sekali tidak sia-sia. Ingatlah bahawa Allah Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya.
Oleh itu, janganlah gusar, bimbang atau merasa gentar.
Damaikanlah hati, tenangkanlah jiwa.
Ingatlah bahawa Allah sentiasa menilai segala titik-peluh dan usaha kita. Dan jika kita masih merasa kurang bersedia ataupun tidak begitu bersedia, Allah tahu kita sudah berusaha sedaya upaya. Ada satu perkara yang kita boleh lakukan sehinggalah di saat-saat kita berada di dalam dewan peperiksaan.
Apakah itu?
Sentiasalah ingat dan rapat pada Allah SWT. Inilah kunci kepada kejayaan.
Kita bertawakkal setelah berusaha. Segala usaha kita adalah salah satu bentuk tawakkal kepada Allah. Mungkin kita rasa kita ini kurang persediaannya, tetapi dengan bantuan Allah, Allah boleh memberi lebih daripada apa yang kita jangkakan dan Allah juga boleh mengubah apa yang mungkin tidak terfikir oleh kita.
Maka, dalam tempoh masa yang singkat ini, adalah dicadangkan untuk anak-anak beberapa perkara yang boleh dilakukan sebagai jalan bertawakal kepada Allah iaitu :
1) Luangkan masa untuk solat sunat dan berdoa meminta agar Allah memberi yang terbaik dan membantu kita semasa peperiksaan.
Solat dan berdoalah pada Yang Esa
2) Istighfar dan taubat agar dosa kita tidak menjadi penghalang antara kita dengan kejayaan yang Allah hendak berikan.
3) Sempatkanlah diri untuk bangun malam sebelum Subuh dan menunaikan solat sunat tahajud.
Buatlah 3 perkara ini sekadar yang termampu.
Selain itu, peliharalah peribadi dan akhlak kita. Jagalah tutur kata tatkala berbicara dan juga menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, guru dan kawan-kawan.
Hidup ini memang bukan sekadar menghadapi peperiksaan besar seperti UPSR, PMR ataupun SPM. Tetapi sebagai hambaNya, kita dituntut untuk sentiasa berusaha dan melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi dengan niat kerana Allah.
Buat anak tersayang, Tuan Zafri, mak doakan semoga kejayaan menjadi milikmu, InsyaAllah. Post kali ini ditujukan khas untukmu duhai anak anak sulong mak.
Teruskan berjuang untuk berjaya dunia dan akhirat. InsayaAllah.
No comments:
Post a Comment